Aku
cuma ada seorang abang.
Usianya dua tahun lebih tua daripada
aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai tie yang menjadi keperluan anak teruna
ketika itu, aku ambil 20 ringgit dari poket seluar ayah.
Petang itu,
pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan abang
berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan
ayah. "Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami
membisu,cuma tunduk memandang lantai. "Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah
rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan
sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, abang menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil
berkata, "Saya yang ambil!"
Belum sempat abang menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan
dan balunan silih berganti menghentam tubuh abang. Aku gamam,lidah kelu untuk
bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata abang tak tumpah.
Setelah puas melihat abang terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu
sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang
akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap abang. Belakangnya yang
berbirat dipenuhi calar-balar cuba
kami ubati. Namun abang cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi
kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut
berkata benar.
Abang segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu
berkata,"Jangan menangis dik,semuanya dah berlalu!"
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela abang. Tahun bersilih
ganti, peristiwa abang dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru
semalam berlaku. Abang mendapat tawaran belajar ke universiti dan aku pula
ditawarkan menyambung pelajaran ke Kolej
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu kalimantang bersama ibu di ruang
tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, anak kita cemerlang dalam
pelajaran. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah abang keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu pergi ke universiti lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung
wajah emak,kemudian wajah abang dalam-dalam.
Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi abang. Seperti biasa yang mampu aku
lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!"
"Abang
kena teruskan pelajaran. Kalau tak, abang takkan dapat membawa keluarga keluar
daripada kemiskinan," aku memujuk abang tatkala menyapu minyak pada
pipinya yang bengkak.
"Abang tak sepandai adik...biarlah abang yang berhenti." Tiada siapa
yang menyangka, dinihari itu abang tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya
beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan
mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....
"Adik...untuk dapat peluang ke kolej bukannya mudah. Abang cari kerja dan
akan kirim wang buat adik."
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa.
Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu
kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak abang berdiri dengan
pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang
kampung, sebutlah abang yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab,
"Adik lihatlah pakaian abang ni. Apa yang akan kawan-kawan adik kata kalau
mereka tahu saya abang adik?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup
tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku
kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian abang.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Adik tak peduli apa
orang lain kata." Dari kocek seluarnya, abang keluarkan sepit rambut
berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Adik, abang
tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, abang beli satu untuk adik."
Aku kaku.
Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul abang dan dadanya dibasahi air mataku
yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke rumah sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat
tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya
balik."
" Abang kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya
luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyuman abang. Kami berdakapan. "Sakit
ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak....Adik tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan
serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh abang sepanjang masa.
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha abang untuk bekerja
keras." Apalagi...aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 26 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan
jawatan pengurus kepada abang.
"Kalau abang terima jawatan tu, apa kata orang
lain?" kata abang. "Abang takde pelajaran. Biarlah abang bekerja
dengan kelulusan yang abang ada." "Abang tak ke sekolah pun kerana adik."
kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, dik?" katanya ringkas,
cuba menyembunyikan kesedihannya.
Abang terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani. Pada satu majlis kesyukuran,
juruacara majlis bertanya kepada abang, "Siapakah orang yang paling anda
sayangi?"
Spontan abang menjawab, "Selain abah dan emak, adik saya...."katanya
lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa
sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu
hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, adik
membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah
kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan
calar-balar."
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya
akan lakukan apa saja demi kebahagiaan adik saya itu. Saya berjanji akan menjaganya
sampai bila-bila."
Sebaik abang tamat bercerita, aku meluru ke arah abang, mendakap abang
sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
Sumber: Hamba Allah.....