Sunday, June 2, 2013

Aku cuma ada seorang abang.



Aku cuma ada seorang abang.

Usianya dua tahun lebih tua daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai tie yang menjadi keperluan anak teruna ketika itu, aku ambil 20 ringgit dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan abang berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah. "Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai. "Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, abang menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat abang menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh abang. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata abang tak tumpah.

Setelah puas melihat abang terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap abang. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun abang cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Abang segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis dik,semuanya dah berlalu!"

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela abang. Tahun bersilih ganti, peristiwa abang dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Abang mendapat tawaran belajar ke universiti dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke Kolej

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu kalimantang bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. "Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah abang keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu pergi ke universiti lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah abang dalam-dalam.

Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi abang. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"
"Abang kena teruskan pelajaran. Kalau tak, abang takkan dapat membawa keluarga keluar daripada kemiskinan," aku memujuk abang tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Abang tak sepandai adik...biarlah abang yang berhenti." Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu abang tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....

"Adik...untuk dapat peluang ke kolej bukannya mudah. Abang cari kerja dan akan kirim wang buat adik."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak abang berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah abang yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Adik lihatlah pakaian abang ni. Apa yang akan kawan-kawan adik kata kalau mereka tahu saya abang adik?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi.
Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian abang.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Adik tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, abang keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Adik, abang tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, abang beli satu untuk adik."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul abang dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke rumah sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

" Abang kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyuman abang. Kami berdakapan. "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak....Adik tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh abang sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha abang untuk bekerja keras." Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 26 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada abang.

"Kalau abang terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata abang. "Abang takde pelajaran. Biarlah abang bekerja dengan kelulusan yang abang ada." "Abang tak ke sekolah pun kerana adik." kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, dik?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Abang terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani. Pada satu majlis kesyukuran, juruacara majlis bertanya kepada abang, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan abang menjawab, "Selain abah dan emak, adik saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"S
emasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, adik membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri.
Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan adik saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik abang tamat bercerita, aku meluru ke arah abang, mendakap abang sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.


Sumber: Hamba Allah.....

No comments:

Post a Comment